ISU
PENGGUNAAN INTERNET
Aplikasi komputer dalam bidang pendidikan boleh
dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pentadbiran pendidikan, penyelidikan
pendidikan dan pengajaran dan pemelajaran. Disebabkan masalah-masalah yang
timbul di dalam ketiga-tiga bahagian ini hampir sama, topik ini akan
membincangkan masalah-masalah aplikasi komputer dalam pendidikan ini secara
bersepadu dan cara mengatasi masalah tersebut.
a) Latihan Ulangan
Terdapat banyak perisian aplikasi pengautomasian pejabat
di pasaran. Terdapat juga berbagai-bagai jenis perisian untuk penyelidikan
mahupun untuk pendidikan. Setiap orang perseorangan yang ditugaskan
mengendalikan perisian-perisian ini samada guru, kerani, pegawai penyelidik
atau lain-lain, perlu menjalani latihan menggunakan perisian tersebut di
samping mempelajari cara penggunaan komputer itu sendiri. Masalah akan timbul
sekiranya orang perseorangan atau pekerja terbabit berhenti atau ditukarkan ke
bahagian lain. Latihan perlu dilakukan semula kepada pengguna pengganti.
b) Kos Yang Tinggi
Kos mendapatkan peralatan dan perisian komputer masih lagi
tinggi walaupun dijangkakan akan menurun. Kita bimbang dengan perkembangan
pesat teknologi maklumat, syarikat-syarikat atau orang perseorangan sentiasa
mengeluarkan peralatan dan perisian baru yang berharga tinggi.
Kerja-kerja penyelidikan selalunya memakan masa yang
panjang. Oleh itu kos yang tinggi diperlukan dari segi penyenggaraan sistem,
tenaga pekerja, peralatan-peralatan bantuan dan terutamanya sekali perkakasan
yang diperlukan.
Disebabkan bidang teknologi maklumat dalam pendidikan
masih baru dan tinggi permintaannya, maka institusi-institusi pengajian
bertindak menaikkan yuran untuk mengikuti kursus-kursus tersebut.
Pelajar-pelajar pelu memiliki komputer sendiri untuk mengelakkan persaingan di
makmal-makmal komputer institusi pengajian.
c) Laporan/Maklumat Tidak
Tepat
Staf yang ditugaskan mengendalikan perisian atau
memasukkan data boleh mengakibatkan laporan yang diproses atau dianalisis oleh
perisian tidak tepat. Ianya boleh berlaku umpamanya seperti kerja kemasukan
data yang banyak dan berterusan.
Kesilapan juga boleh berlaku terhadap hasil penyelidikan
sekiranya berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam
pembangunan sistem penyelidikan itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem
penyelidikan tersebut.
Kemunculan virus-virus komputer boleh juga mengakibatkan
kesilapan dalam analisis data.
d) Pergantungan Tinggi
Kepada Komputer
Staf
yang biasa atau selalu menggunakan komputer untuk membantu kerja-kerjanya
mungkin boleh menyebabkan kerja-kerja tertangguh sekiranya terjadi sesuatu yang
di luar jangkaan seperti kerosakan kepada komputer atau tenaga elektrik.
Pemelajaran
di dalam kelas juga boleh terganggu sekiranya guru hanya bergantung kepada
komputer untuk melaksanakan pengajaran.
e) Jenayah Kolar Putih
Terhadnya
staf yang diberi kebenaran menggunakan komputer atau yang mahir menggunakan
kompuer boleh menggalakkan jenayah kolar putih dengan mengelirukan angka-angka
pada data komputer kerana ianya sukar dikesan.
f) Kurang Kepakaran
Kerja-kerja
penyelidikan berbantukan komputer memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja
pakar dalam bidang penyelidikan tersebut tetapi juga mahir dalam bidang
komputer terutamanya sewaktu proses pembangunan sistem penyelidikan.Guru-guru
yang pakar mengendalikan komputer juga diperlukan untuk melaksanakan pengajaran
berbantukan komputer atau literasi komputer.
g) Sosialisasi
Kerja-kerja
penyelidikan berkomputer juga boleh menyebabkan staf penyelidikan terlalu
taksub terhadap komputer atau tugasnya hingga boleh melalaikan dari bersosial
dengan masyarakat luar. Ia juga boleh melenyapkan empati terhadap orang lain
kerana terlalu serius dalam tugas.
Penggunaan
komputer sebagai alat pengajaran juga boleh mengakibatkan interaksi antara guru
dan murid berkurang sekiranya guru tidak peka kepada tanggungjawab guru
sebenarnya bukan hanya sekadar mengajar tetapi juga mendidik dan membimbing.
h) "Computer
Phobia"
Disebalik
perkembangan pesat dalam pengkomputeran, wujud juga segolongan manusia yang
tidak berupaya atau berpeluang mengikuti perkembangan pesat teknologi maklumat.
Mereka ini boleh bersikap takutkan komputer atau tidak mahu menggunakan
komputer kerana kurang keyakinan mereka terhadap komputer. Di hati mereka boleh
juga wujud rasa rendah diri apabila berada di kalangan individu yang celik
komputer.
i) Internet
Internet
tidak dimiliki oleh sesiapa. Setiap pengguna Internet bebas memasukkan apa-apa
maklumat yang ingin mereka sampaikan kepada pengguna lain. Oleh itu adalah
sukar bagi pihak pendidikan untuk menapis kandungan-kandungan yang baik dan
elok sahaja untuk pelajar-pelajar.
Cara
Mengatasi Masalah-Masalah Yang Wujud Kesan Dari Penggunaan Komputer
Berikut
merupakan cadangan-cadangan yang difikirkan sesuai untuk mengatasi
masalah-masalah yang wujud dari kesan penggunaan komputer. Kami
mengklasifikasikan kepada tiga bahagian iaitu dari segi pentadbiran,
penyelidikan dan pengajaran dan pemelajaran.
Dari
segi pentadbiran, adalah perlu pihak pengurus atau pentadbir mengambil kira
dari segi pembangunan sumber manusia. Adalah dicadangkan supaya pihak pentadbir
:
• Mempertingkatkan latihan
kepada kakitangan
Ini
adalah untuk menyediakan kakitangan mereka menghadapi perkembangan teknologi
maklumat yang terkini. Sekiranya semua kakitangan telah diperlengkapkan dengan
kemahiran-kemahiran yang sepatutnya, sudah tentu masalah kehilangan tenaga
pakar tidak berlaku andainya terjadi pertukaran kakitangan pada organisasi
tersebut.
• Menitikberatkan kebajikan
pekerja
Pihak
pentadbir juga perlu menjaga kebajikan pekerja untuk mengelakkan berlakunya
perpindahan pekerja ke organisasi lain. Malah masalah seperti kemasukan data
yang salah (Garbage In Garbage Out - GIGO) dapat dihapuskan sekiranya pentadbir
memberi peluang dan masa yang secukupnya untuk kakitangan mereka menjalankan
tugas. Selalunya kesilapan berlaku kerana kecuaian pekerja yang melakukan kerja
secara tergopoh-gapah. Mungkin kerana mahu cepat siap, faktor kuantiti sahaja
yang diambil kira, dan ini menyebabkan mereka mengabaikan faktor kualiti.
Kebajikan pekerja perlu diambil berat. Adalah dicadangkan juga setiap data atau
maklumat yang dimasukkan disemak oleh "Quality Control". Ini dapat
menghasilkan data yang lebih tepat dan jitu.
• Penerapan Nilai-Nilai
Murni
Jenayah
kolar putih sering berlaku kerana kakitangan tidak mempunyai sikap jujur,amanah
dan bersih. Penerapan nilai-nilai murni adalah wajar disarankan untuk
diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari kakitangan. Di samping itu, pihak
pentadbir bertanggungjawab untuk mengambil inisiatif segera dalam memahami dan
mengatasi masalah yang dihadapi kakitangan mereka. Penyelewengan mungkin
berlaku kerana tekanan emosi atau kesempitan wang. Oleh itu, kemungkinan
kepincangan pada pihak pentadbiran mungkin boleh mengakibatkan berlakunya
gejala negatif seperti ini. Sekiranya kebajikan pekerja
• Melahirkan Graduan Yang
Berkualiti
Institusi
Pengajian Tinggi serta institusi swasta juga memainkan peranan yang penting
terhadap kekurangan tenaga mahir tempatan dalam bidang teknologi maklumat.
Dengan adanya graduan yang berkualiti dan berkuantiti ini, maka masalah tenaga
pakar dapat dimansuhkan. Graduan-graduan inilah yang akan menerajui teknologi
komputer dimasa hadapan.
• Menguatkan akta hakcipta
dari segi undang-undang
Sememangnya
akta hakcipta dari segi undang-undang telah ada. Namun begitu tindakan yang
serius tidak dijalankan yang menyebabkan berlakunya kesalahan menggunakan
perisian tanpa lesen yang sah. Keadaan ini memaksa pengeluar mencipta virus,
yang walaupun pada asalnya bertujuan untuk memelihara perisian mereka, telah
sedikit sebanyak menyusahkan pengguna yang lain. Sekiranya undang-undang
diperketatkan, sudah tentu tidak wujud lagi situasi penggunaan "pirate
copy". Disamping itu juga, sekiranya kos perolehan perisian dapat
diturunkan akan menggalakkan pengguna mendapatkan perisian yang asli dan tidak
"pirate copy".
• Pembuatan perbuatan
komputer tempatan
Pengeluaran
peralatan teknologi dari tempatan juga adalah digalakkan. Dengan penghasilan
produk ini secara tempatan, sudah tentu kos pembuatan dapat dikurangkan dan
seterusnya kos peralatan juga dapat diturunkan sebanyak mungkin.
• Pemilihan yang bijak.
Perolehan
peralatan juga perlu dibuat dengan bijak. Beli peralatan yang perlu sahaja dan
elakkan dari pembaziran wang dengan membuat perolehan yang tidak penting. Cara
ini dapat mengurangkan kos perolehan peralatan teknologi maklumat.
• Luangkan Masa Bersosial
dan Prinsip diri.
Seringkali
penggunaan teknologi maklumat dikaitkan dengan pengurangan nilai-nilai sosial
dikalangan masyarakat. Pihak bertanggungjawab perlu sedar tentang ini dan
hendaklah beri masa yang sesuai untuk membolehkan kakitangan mereka bergaul
dengan masyarakat. Malah pada pendapat kami dengan adanya kemudahan teknologi
maklumat, sekiranya digunakan dengan bijak boleh merapatkan hubungan samada
pada lokasi yang dekat mahupun di hujung dunia, kerana teknologi komputer telah
melahirkan "global village". Manusia menjadi semakin dekat tanpa
mengira faktor geografi dan jarak.
Dari
segi pengajaran dan pemelajaran pula, perkara-perkara yang disarankan ialah :
• Peruntukan dari Kerajaan.
Untuk
mengatasi masalah kurang kelengkapan dan peralatan komputer di sekolah-sekolah
dan institusi pengajian, pihak kerajaan perlu campurtangan dengan memberikan
peruntukan yang secukupnya untuk membolehkan organisasi terbabit melengkapkan
institusi pengajian dengan kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi untuk semua
pelajar.
• Tingkatkan keselamatan
komputer
Kejadian-kejadian
seperti di San Diego di mana tiga orang pelajar telah digantung pengajian
mereka kerana cuba memecah masuk ke sistem komputer sekolah untuk menukar gred
dan tugasan mereka; di UCLA di mana Ronald Austin seorang pelajar universiti
tersebut telh didakwa kerana cubaan memecah masuk ke 200 akaun yang dimiliki
oleh Advanced Research Projects Agency Network (Arpanet) akan dapat dihapuskan
sekiranya langkah berjaga-jaga diambilberat. Malah keselamatan komputer perlu
diambil berat untuk mengelakkan gejala negatif seperti ini berlaku lagi.
• Guru Tidak Terlalu
bergantung kepada perisian
Kurangnya
interaksi antara guru dan pelajar juga sering dikaitkan dengan adanya teknologi
komputer. Dalam hal ini, sebagai guru kita hendaklah bertindak dengan bijak.
Sifat terlalu bergantung kepada perisian perlu dilenyapkan. Guru-guru perlu
bertindak sebagai pembimbing dan penunjukcara yang aktif. Dengan ini dapat
merapatkan lagi hubungan guru dengan murid dan dapat memperbanyakkan interaksi
dengan pelajar. Mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih, pepatah lama perlu
dipegang.
• Didikan awal
Didikan
awal dan penerapan nilai-nilai murni adalah penting untuk melahirkan generasi
bermaklumat yang bermoral. Sekiranya didikan nilai-nilai murni telah ditanam di
jiwa pelajar-pelajar, tidak akan berlaku kesalahan atau jenayah komputer yang
membimbangkan generasi akan datang.
• Membudayakan Masyarakat
Masyarakat
perlu dibudayakan dengan pendedahan kepada teknologi komputer. Inisiatif ini
perlu diambil oleh setiap individu itu sendiri. Setiap individu hendaklah cuba
mempertingkatkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran terkini. Malah
membudayakan masyarakat dengan literasi komputer akan menjadi lebih mudah
sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan kerjasama yang
serius.
Kesimpulan
Tidak
dinafikan perkembangan pesat teknologi maklumat khususnya komputer telah
menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat. Namun begitu perkara ini masih
boleh dibendung jika setiap individu mengambil tindakan yang serius untuk
mengatasinya. Sekiranya langkah yang sesuai dan betul dilaksanakan oleh pihak
yang bertanggungjawab, perkembangan pesat ini boleh memajukan sesebuah negara
dan dunia amnya. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Bergantung kepada usaha
dan inisiatif kita untuk membendung masalah ini dan menggunakan teknologi
komputer sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment